17 Julai 2008

Semoga Jodoh Kami Berkekalan


Mudah-mudahan…

Kasih abadi sampai ke kubur
Cinta di hati tak pernah luntur

Sayang kekal sampai kiamat
Cinta sejati sepanjang hayat

Adat bersuami isteri
Belajar-belajar tahukan diri
Tahu menyukat sama penuh
Tahu menimbang sama berat
Tahu mengukur sama panjang

Yang hilang sama dicari
Yang kurang sama diberi
Yang kosong sama diisi
Yang salah sama dibaiki

Moga kasih kami direstuiJuga diredhai Ilahi

Pesan Ayahanda & Bonda

Bila sampai ke lautan gading,
Belok lah perahu mencari selat,
Bila bertikai dalam berunding,
Elok lah balik ke pangkal adat.

Bila malang tak dapat ditolak,
inilah nasihat ayahanda dan bonda...

Genting jangan membawa patah,
Retak jangan membawa belah,
Sumbing jangan membawa pecah,
Ingat amanah daripada Allah,
Ingat hubungan pertalian darah.

Silap besar elok diperkecilkan,
Yang kecil elok dilupakan,
Bila terlupa sapa menyapa,
Bila terlanjur tegur menegur.

Salah jangan dibesarkan,
Selisih jangan dipanjangkan,
Yang salah dubetulkan,
Yang bengkok diluruskan,
Yang keliru diperjelaskan.

Dipenghujung Bicara Ini







Bak kata orang

Kalau mendaki sudah sampai ke puncak
Kalau menurun sudah sampai ke lembah
Kalau terjun sudah sampai ke tanah
Kalau berenang sudah sampai ke pantai
Kalau mudik sudah sampai ke hulu
Kalau hanyut sudah sampai ke kuala

Umpama belayar sudah sampai ke pulau
Umpama berjalan sudah sampai ke batas

Yang termimpi-mimpi sudah terjadi
Yang terbayang-bayang sudah dipandang
Yang hutang sudah dibayar
Yang piutang sudah menerima

Begitu juga majlis kami
Sudah berada dihujung acara

Ratu dan Raja Sehari Memohon Ampun & Maaf





Kami minta ampun…
Kami minta maaf...

Kalau ada wajah tersalah pandang
Kalau ada nama tersalah sebut
Kalau ada gelar tersalah ucap
Kalau ada tuan yang tersalah tempat

Kalau ada hidangan tersalah bekas
Kalau air mawar tersalah renjis
Kalau gelas tidak beralas
Kalau air terkurang manis

Kami susun sepuluh jari
Salah silap mohon ampuni
Terlanjur kata terkasar bahasa
Jangan disimpan didalam hati

Al-maklumlah kami ini
Bijak tidak pekerti pun kurang
Langkah tak sajak
Budi pula alang kepalang

Kalau tidak kelapa puan
Tidak puan kelapa bali
Kalau tidak kerana tuan
Tidaklah berseri majlis kami

Sejambak Kasih Sekalung Budi

Dikesempatan ini kami seisi keluarga
menyisipkan salam dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sudi hadir bagi
memeriahkan majlis perkahwinan anakanda kami.

Para tetamu, sanak saudara jauh dan dekat,
handai dan taulan rakan sejawatan dan jiran tetangga.

Sesungguhnya kehadiran tuan & puan amatlah kami hargai. Semoga Allah SWT juga yang akan membalas keikhlasan serta budi baik tuan & puan.


Yang kurik itu kendi;
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi;
Dikenang sepanjang usia.

Terima kasih.